PERANCANGAN

Perancangan SMK St. Francis, Melaka, merupakan terjemahan kepada sebahagian daripada 13 Sasaran Kerja Utama ( SKU ) Kementerian Pendidikan Malaysia dan dijadikan perancangan korperat sekolah ini menjelang tahun 2001.


1) Pendemokrasian Pendidikan

Untuk mencapai hasrat ini, pihak sekolah akan mengamalkan prinsip memberi sebanyak ruang dan peluang belajar kepada semua pelajar sehingga ke tahap yang termampu oleh pelajar sejajar dengan dasar kementerian pendidikan iaitu peluang menamatkan pelajaran sehingga tahap Tingkatan 5.

Pelajar juga diberi peluang memiliki pakej pilihan yang sesuai dengan minat dan kemampuan mereka. Pelajar diberi nasihat dan galakan untuk menceburi bidang sains sejajar dengan objektif meningkatkan bilangan pelajar dalam bidang sains ialah 60:40.

Oleh kerana pelajar di sekolah terdiri daripada pelbagai kaum dan daripada latar belakang yang berbeza, maka sekolah ini akan membantu dan memastikan agen pelajar daripada golongan miskin atau kurang berkemampuan diberi bantuan sama ada dalam bentuk material seperti biasiswa, pakaian, program makanan, dan bantuan nasihat dan bimbingan agar mereka ini tidak tercicir daripada arus kemajuan pendidikan negara.


2) Perpaduan Negara

Agenda mencapai perpaduan negara akan diberi penekanan utama sejajar dengan matlamat Dasar Pendidikan Negara. Untuk menjayakan agenda ini, pihak sekolah akan meneruskan kebiasaan menempatkan pelajar daripada semua kaum dalam setiap kelas. Cara ini dapat memberi peluang pelajar berinteraksi seterusnya melahirkan semangat setiakawan yang utuh sejak di bangku sekolah.

Matlamat ini juga boleh dicapai dengan cara pihak sekolah menggerakkan dan menggiatkan lagi aktiviti kokurikulum di samping memastikan setiap persatuan/kelab pasukan sukan terdiri daripada pelajar berbilang kaum. Aktiviti seperti perkhemahan, lawatan sambil belajar turut digalakkan agar pelajar berpeluang belajar, berbincang, merancang aktiviti secara bersama bagi melahirkan pelajar ynag aktif dan bersatu pada. Adalah menjadi tradisi sekolah ini mengadakan sambutan perayaan seperti Deepavali, Christmas, Hari Raya, Tahun Baru Cina secara meriah. Melalui program ini, pelajar akan lebih mengenali kebudayaan semua kaum di Malaysia seterusnya memupuk perasaan hormat-menghormati, sikap toleransi akan perbezaan yang wujud dalam satu kaum. Perayaan seperti Kongsi Raya dan lain-lain bentuk perayaan yang disambut di pastinya dapat memperkukuh perpaduan semua warga sekolah termasuk ibu bapa, pelajar dan masyarakat amnya.


3) Kemudahan Pendidikan

Pihak sekolah akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu pihak guru dan pelajar dalam memaksimumkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan prestasi pendidikan. Segala kelengkapan asas di bilik darjah, makmal, perpustakaan, makmal komputer, surau, bilik rehat pelajar perempuan, kantin, kemudahan beriadah selepas sekolah dan lain-lain akan disediakan sebaik yang mungkin bagi memberi keselesaan dan kecerian untuk menimba ilmu pengetahuan.

Kemudahan mendapatkan sumber rujukan di perpustakaan akan ditambahkan, kemudahan penggunaan komputer dalam pembelajaran dan pengajaran turut disediakan. Pihak sekolah juga akan menubuhkan kafe siber di perpustakaan dan kemudahan penggunaan internet sebagai satu lagi usaha menambah sumber mendapatkan maklumat menggalakkan dan memperluas penggunaan IT dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kemudahan lain yang akan disediakan ialah sentiasa menambahkan bahan-bahan ABM yang terkini bagi memastikan pelajar-pelajar di sekolah ini tidak ketinggalan dalam mendapatkan kemudahan yang boleh membantu pemahaman dan menarik minat mereka dalam meneroka dan memperluas bidang pendidikan.


4) Kurikulum

Kurikulum adalah teras kepada usaha meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar. Dalam hal ini, pihak sekolah akan sentiasa mengikuti pembaharuan, perubahan yang terdapat dalam kurikulum pendidikan bagi membolehkan guru-guru menyampaikan pengajaran mereka secara berkesan dan mengikut arahan Kementerian Pendidikan. Pihak sekolah akan memastikan semua mata pelajaran dilaksanakan mengikut perancangan jangka masa panjang dan keperluan semasa. Tenaga pengajar akan digalakkan mengikuti kursus yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan dan juga mengikuti seminar-seminar yang dianjurkan oleh SPTA. SPTA yang dapat meningkatkan kefahaman guru seterusnya membantu pelajar dalam aspek akademiknya.


5) Tenaga Manusia

Tenaga manusia dalam sesuatu organisasi adalah asas penting bagi mencapai sesuatu matlamat. Justeru itu, semua kaki tangan pejabat sekolah, pembantu makmal, pekerja am, pentadbir, guru-guru dan murid-murid akan diberi tumpuan agar mereka dapat memperkembang potensi dalam bidang masing-masing agar mereka dapat memberi sumbangan kepada pembangunan insan dan mempertingkatkan semua aspek pendidikan. Bagi memanfaatkan tenaga manusia, mereka akan diberi latihan, kursus dan peluang untuk memajukan diri dalam kerjaya masing-masing. Pelajar merupakan tenaga muda yang wajar didorong menggunakan keupayaaan mereka ke arah kebaikan seperti menyertai aktiviti-aktiviti sekolah dan aktiviti kemasyarakatan. Cara tersebut dapat menjalin perhubungan erat antara pihak sekolah dan masyarakat.


6) Tenaga Pengajar

Tenaga pengajar di sesebuah sekolah adalah jentera penggerak mencapai hasrat melahirkan generasi muda yang cintakan ilmu dan sentiasa mencari cara mendapatkan ilmu pengetahuan melalui kemajuan IT. Justeru itu, tenaga pengajar akan dipastikan memiliki kemahiran dan ketrampilan menyampaikan ilmu. Untuk mencapai objektif itu, pihak sekolah akan menggalakkan guru menyertai seminar, kursus, mengikuti program perkembangan staf yang diadakan setiap penggal persekolahan bagi memupuk keyakinan diri dapat memberi teknik pembelajaran yang tepat kepada pelajar. Segala keperluan tenaga pengajar yang boleh menjadikan pengajaran dan pembelajaran berkesan akan diusaha dandisediakan oleh pihak sekolah.


7) Sistem Pengurusan

Sistem pengurusan sekolah ini akan mematuhi sistem pengurusan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Carta organisasi adalah seperti berikut: (Rujuk kepada carta di sebelah).

Setiap jabatan pula, mengandungi AJK Panitia yang diketuai oleh ketua panitia yang diletakkan di bawah pengawasan ketua bidang masing-masing. Fail-fail dan senarai-senarai tugas ditetapkan bagi membolehkan sesiapa sahaja yang mengambil alih tugas dapat meneruskan pengurusan. Mesyuarat diadakan dari masa ke masa bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatan sesuatu projek yang dilaksanakan oleh tiap-tiap jabatan.


8) Penglibatan Masyarakat

SFI. Sebagai sebuah sekolah yang diasaskan oleh Mubaligh, sememangnya mendapat perhatian daripada masyarakat. Penglibatan yang dimaksudkan adalah secara langsung dan tidak langsung. Contohnya, setiap kali diadakan projek memungut derma untuk pembangunan sekolah, masyarakat sedia menghulurkan bantuan.

Penglibatan bekas pelajar dan keluarga mereka turut memainkan peranan dalam usaha SFI menarik penglibatan masyarakat dalam usaha menaikkan prestasi akademik pelajar SFI.

Pembabitan secara langsung anggota masyarakat dalam membantu pihak sekolah adalah melalui peranan aktif yang dimainkan oleh pihak Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan penderma biasiswa. Pihak sekolah ini juga telah berjaya menarik pihak swasta membantu meningkatkan prestasi akademik melalui pembangunan komputer. Syarikat Infinion dan Gateway adalah dua buah syarikat yang telah menyertai kegiatan kemasyarakatan ini. Pada masa akan datang, pihak sekolah akan terus berusaha menambah penglibatan masyarakat dengan SFI.


9) Penyelidikan

Merujuk kepada aspek penyelidikan sebagai salah satu komponen dalam SKU, SFI mengambil dua strategi. Pertama, menggalakkan pelajar menggunakan segala kemudahan yang ada untuk melakukan pembelajaran secara lebih berkesan. Contohnya, menyediakan kemudahan komputer dan internet untuk mendapatkan maklumat terkini. Sejajar dengan dasar yang lebih terbuka, pihak sekolah dengan kerjasama panitia seperti KH akan menggalakkan kelab rekacipta mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan anjuran sekolah, jabatan dan kementerian. Cara yang sama akan dilakukan untuk mencerna minda pelajar membuat kajian sains. Dalam hal ini, kelab sains dan matematik akan digalak memainkan peranan yang lebih aktif.

Strategi kedua adalah merujuk kepada aspek melahirkan insan SFI yang dapat mengelakkan diri daripada bahana kebajakan sosial. Dalam hal ini, pihak bimbingan dan kaunseling akan dipertanggungjawab menyelidik latar belakang pelajar yang bermasalah dalam pelajaran, disiplin, pergaulan, kesihatan dan lain-lain supaya pihak sekolah dapat membantu pelajar berkenaan.


10) Sistem Informasi

SFI akan memastikan semua maklumat tentang kaki tangan sentiasa dikemaskinikan bagi membantu pelangaran tugas. Untuk itu, guru maklumat dilantik.

Di samping itu, SFI akan memastikan maklumat tentang pelajar dan bekas pelajar, kerjaya pelajar ada dan tersimpan dengan baik untuk rujukan pada setiap masa.

Bagi melicinkan pentadbiran sekolah, SFI akan menyediakan kemudahan komputer, e-mail dan internet bagi menerima dan menyebarkan maklumat yang diperlukan kepada pihak-pihak berwajib SFI mempunyai Laman Web sendiri.


11) Penilaian Dan Pengulunari

Pihak sekolah mempunyai kalender membuat penilaian dan pengulunan pelajarnya sepanjang tahun. Ujian-ujian bulanan diadakan dua kali dalam setiap semester di samping peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun. Bagi pelajar yang menduduki peperiksaan Awam PMR, SPM, STPM, peperiksaan percubaan turut diadakan. Hasil ujian direkod dan diteliti untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar seterusnya strategi yang diambil untuk tindakan lanjut.


12) Moral Dan Martabat Bangsa

Usaha melahirkan generasi muda yang bermoral dan dapat meningkatkan martabat bangsa pastinya bermula di sekolah. Untuk mencapai hasrat murni ini, pihak sekolah akan memupuk nilai-nilai murni sejajar dengan dasar pendidikan negara. SFI akan berusaha melahirkan Francisan yang mempunyai moral yang tinggi dan berusaha memartabatkan Bangsa Malaysia yang disegani oleh semua pihak. Penekanan diberi kepada pembelajaran dan pengajaran pendidikan moral dan agama, di samping membabitkan pelajar dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat melahirkan insan yang berkesedaran sivik dan penyayang. Adalah menjadi tradisi di sekolah ini memberi peluang kepada semua pelajar mendekati dan mendalami bidang agama masing-masing sama ada melalui persatuan atau kelab. Pelajar digalak menyertai kempen kitar semula, cintai alam, mengadakan tabung bantuan bencana sama ada di dalam mahupun di luar negara.


13) Pengurusan Berkualiti

Bagi mencapai pengurusan yang berkualiti, pihak sekolah akan melaksanakan arahan-arahan Jabatan-jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan. Sistem fail yang dikemaskinikan boleh membantu pengurusan yang licin. Setiap Jabatan/Panitia wajar mematuhi tugas-tugas yang ditetapkan. Laporan disedia dan dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pihak pentadbir. Kursus dan taklimat, mesyuarat diberikan kepada semua pihak yang terbabit sebagai langkah mengelak timbul masalah yang boleh menghalang kelicinan pengurusan.

Semoga perancangan ini akan menjadi bahan rujukan dan semakan di semua peringkat dan lapisan organisasi sekolah. Pencapaian setiap bahagian akan diulur berdasarkan kepada sumbangan yang diberikan bagi menjayakan sasaran yang telah ditentukan. Dengan adanya perancangan ini diharap setiap warga pendidikan akan mengetahui kedudukan peranan masing-masing berdasar pencapaian sasaran organisasi yang telah ditentukan bersama.